Wanita didenda RM2,000 ugut pekerja pusat penjagaan warga emas

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan ugut jenayah bunuh seorang pekerja pusat jagaan warga emas, Februari lalu.

Tertuduh Cynthia Pui Yan Yan, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Nina Ernie Stiben, 31, di sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Mabel, Lorong Laksamana Cheng Ho 2, sekitar jam 7.45 malam, 12 Februari lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut ringkasan kes, pengadu yang merupakan pekerja di pusat berkenaan telah didatangi dua orang wanita lalu menuduhnya mencederakan nenek mereka.

Dalam kejadian itu, pengadu diugut bunuh oleh salah seorang daripada wanita tersebut. Pengadu kemudian membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya.

Pada 4 Mac lepas, sekitar jam 6.20 petang sepasukan polis telah menangkap tertuduh termasuk kakaknya untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan, tertuduh tidak mengaku ada mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan bunuh terhadap pengadu.

Namun, peristiwa tersebut disaksikan oleh majikan yang merupakan saksi kejadian yang melihat dan mendengar sendiri kata-kata ancaman terhadap tertuduh.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak