Wanita warga emas maut jatuh sungai

MUKAH: Seorang wanita warga emas maut selepas terjatuh ketika cuba menyeberangi Sungai Sepasir Meruan Dijih Mukah, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Mumamad Rizal Alias, mangsa Beja Badin, 74, ketika kejadian bersama-sama anaknya pulang dari kebun sawit menuju ke rumah mereka di Rh. Christoper Chat.

“Semasa cuba menyeberangi sungai tersebut melalui titi kayu, anaknya mendapati mangsa telah terjatuh ke dalam sungai.

“Air sungai yang sangat deras itu telah menyebabkan mangsa hanyut selain titi kayu tersebut turut tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, anak mangsa yang juga pengadu tidak sempat menyelamatkannya dan terus bertindak menghubungi penduduk rumah panjang untuk bantuan.

“Pada sekitar 7 petang semalam, orang kampung berjaya menjumpai mangsa tersangkut di pokok di tepi sungai tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan seterusnya bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Suara Sarawak