Warga emas maut, kereta terbabas ke dalam parit

MIRI: Lelaki warga emas maut selepas pikap dipandunya terbabas di Jalan Bulatan Park, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, 63 tahun datang dari arah Bulatan Edward Jeli menghala ke Bulatan Saberkas.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan dan telah masuk ke dalam parit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak