Bonnie, Yee Khie terima insentif daripada Kerajaan Sarawak

KUCHING: Dua jaguh Powerlifting Sarawak yang mememangi pingat pada kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 yang lepas menerima insentif daripada Kerajaan Sarawak, hari ini.

Bonnie Bunyau Gustin yang mendapat pingat emas akan menerima insentif sebanyak RM500,000 manakala Jong Yee Khie yang mendapat pingat perak menerima RM300,000.

Insentif itu disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia dengan turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Abang Johari berkata insentif itu adalah sebagai penghargaan Kerajaan Sarawak di atas kejayaan Bonnie dan Yee Khie, yang telah mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap insentif ini akan memberi galakan kepada atlet-atlet lain untuk mencapai kejayaan lebih tinggi lagi di masa akan datang,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar Bonnie dan Yee Khie turut menempa kejayaan dalam Kejohanan Dunia di Georgia, Rusia akan datang.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan terus memberi segala sokongan dalam pembangunan sukan termasuk menaik taraf kemudahan-kemudahan sukan.

“Kita komited untuk terus mengesan bakat-bakat sama ada dalam sukan paralimpik mahupun olimpik.

“Kita ada sekolah sukan yang boleh melatih atlet-atlet yang kita banggakan,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata itu adalah strategi Sarawak di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dalam mengenalpasti bakat serta potensi atlet.

Abang Johari menyampaikan insentif sebanyak RM500,000 kepada Bonnie sambil disaksikan oleh Karim dan Fatimah.

 

 Abang Johari menyampaikan insentif sebanyak RM300,000 kepada Yee Khie (dua kiri) sambil disaksikan oleh Karim dan Fatimah.
Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak