Lelaki menagih dadah sejak 2019, ditahan polis

MUKAH: Polis menahan seorang buruh lelaki kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah dalam satu serbuan di Jalan Oya-Mukah, tengah hari tadi.

Suspek yang berasal dari Kampung Tengah Igan itu, dipercayai terlibat dengan penagihan dadah jenis syabu sejak awal tahun 2019 sehingga kini.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah menerusi Ops Tapis di tepi jalan Oya-Mukah sekitar jam 1.30 petang.

“Hasil pemeriksaan, pasukan merampas satu peket kecil lutsinar berisi ketulan kristal di dalam genggaman tangan kanan suapek disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.45 gram dan dianggarkan bernilai RM50.

“Suspek seterusnya dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak