15 projek sakit di Sabah dan Sarawak

KUCHING: Hospital Petra Jaya antara 15 projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya (KKR) di Sabah dan Sarawak yang diklasfikasikan sebagai projek ‘sakit’ yang gagal disiapkan mengikut jadual.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kesemua projek tersebut sudah ditamatkan dan akan diserahkan kepada Kontraktor Penyiap baharu yang akan dilantik.

“Di Sabah dan Sarawak terdapat 15 projek sakit yang telah dibatalkan kontraknya dan akan dilantik kontraktor penyiap yang akan menyelesaikan projek tersebut,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 Tahun 2021 di sini, hari ini.

Menurutnya, konsep Kontraktor Penyiap adalah untuk melaksanakan projek-projek yang tidak dapat disiapkan disebabkan oleh masalah kontraktor dan sebagainya dengan pelawaan tender semula secara kaedah Tender Terbuka.

Pada 26 September, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kontraktor penyelamat telah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai Hospital Petra Jaya sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak