47,731 hektar tanaman kelapa sawit di Sarawak berjaya dibangunkan

KUALA LUMPUR: Felcra Berhad berjaya membangunkan kawasan seluas 47,731 hektar dengan tanaman kelapa sawit di Sarawak sejak 1987 yang bermula dengan penglibatannya dalam Projek Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah berkata usaha sejak 34 tahun itu telah memberi impak kepada 20,307 individu terdiri daripada peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan yang merangkumi peserta Ladang Rakyat dan Ladang Sejahtera.

Hasbi berkata bagi kawasan Miri, Felcra Berhad telah membangunkan lebih 930 hektar tanah sejak 1996 dan menyantuni lebih 550 peserta serta keluarga selain meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.

“Felcra Berhad juga dapat mengagihkan keuntungan interim satu dan dua bagi 2021 berjumlah RM3.02 juta kepada para peserta projek di Bungai Mummong, Kampung Keluru, Kampung Pejuang Kelulit, Kampung Sepupuk dan Sungai Entulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran peserta Felcra Berhad kawasan Miri di Bekenu hari ini. Teks ucapannya die-melkan oleh Felcra kepada Bernama.

Pada majlis itu, Hasbi menyantuni 100 pelajar dengan memberikan pek kembali ke sekolah berupa peralatan persekolahan serta berkongsi pek prihatin keluarga Felcra mengandungi bakul makanan asas bersama 50 ibu tunggal dan 50 warga emas daripada projek-projek Felcra sekitar Miri.

Selain Felcra yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, turut memberikan sumbangan pada majlis hari ini adalah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 pekebun kecil di Sarawak.  — BERNAMA

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak