570, 616 orang di Sarawak terima dos penggalak vaksin Covid-19

KUCHING: Seramai 570, 616 orang di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat 23 November ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada masa ini diberikan keutamaan kepada individu berusia 40 tahun ke atas, petugas barisan hadapan dan dewasa berpenyakit kronik (co-morbid) berusia 18 hingga 59 tahun.

Manakala, bagi pemberian dos ketiga adalah bagi golongan yang mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

Aktiviti pemberian dos penggalak ini dilaksanakan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, PPV Awam dan secara mobile outreach.

“Pemberian dos penggalak di klinik swasta dan hospital swasta adalah secara percuma.

“Mereka yang layak menerima dos penggalak akan mendapat tarikh janji temu melalui MySejahtera untuk hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara, JPBN berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengambil maklum tentang rungutan orang ramai mengenai janji temu bagi dos penggalak yang lambat diterima melalui MySejahtera dan telah menyebabkan mereka terlepas tarikh janji temu tersebut.

“Bagi mereka yang menghadapi isu seperti di atas, mereka boleh hubungi PPV Awam, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta yang telah ditetapkan atau mana-mana klinik kesihatan yang terdekat untuk mendapatkan tarikh temu janji baru.

“Tarikh janji temu baru akan diberi mengikut kekosongan slot yang ada seawal hari mereka menghubungi PPV berkaitan,” jelasnya.

Sehubungan itu, JPBN menggesa orang ramai untuk sentiasa memeriksa tarikh janji temu di MySejahtera atau boleh menghubungi mana-mana Pusat Pemberian Vaksin yang telah disenaraikan untuk mendapatkan janji temu supaya dapat memudahkan kawalan “walk-in” diselaraskan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak