81.37 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk Sarawak

KUALA LUMPUR: Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 81.37 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun lepas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi jawapan yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen semalam turut memaklumkan bahawa 79 tapak menara baharu telah disiapkan, selain 1,856 projek naik taraf stesen pemancar dan 61,414 premis tersedia gentian optik.

KKMM memaklumkan ini adalah antara inisiatif menambah baik infrastruktur digital di negeri Sarawak melalui inisiatif JENDELA di bawah Fasa 1, setakat 31 Okt lepas.

“Secara umumnya, pelaksanaan kesemua inisiatif JENDELA ini telah bermula sejak bulan September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2022.

“Perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit pula kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga awal tahun 2022,” menurut jawapan itu.

Kementerian itu memberi maklum balas demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam memastikan capaian Internet yang lebih baik di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.

KKMM memaklumkan selain pembinaan menara telekomunikasi dan satelit, kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP).

Kaedah ini menggunakan hab gentian optik sebagai alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.

“Pelaksanaan ini akan menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis-premis kerajaan berhampiran dan masyarakat sekelilingnya.

“Pelaksanaan PoP bagi Fasa 1 akan melibatkan 630 lokasi berhampiran sekolah manakala bagi Fasa 2 pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara,” menurut jawapan itu.

KKMM memaklumkan sekurang-kurangnya 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut kementerian itu, keseluruhan jumlah PoP di kawasan luar bandar di Sarawak adalah 741 dan daripada jumlah itu, sebanyak 31 berada di Parlimen Igan.

— BERNAMA

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak