Abang Johari: GPS tiada masalah pertindihan kerusi

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai masalah jika kerusi Opar, Mambong dan Bawang Assan diperuntukkan untuk mana-mana calon daripada parti komponen berkenaan.

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, namun ketika ini pihaknya belum memutuskan pembahagian calon yang akan mewakili ketiga-tiga kerusi tersebut.

“Kami datang sebagai satu pasukan dan akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) nanti.

“Untuk kerusi Mambong, mungkin ada masalah sedikit tetapi kita akan membincangkannya nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak Pelbagai Bahan Api di Batu Kawah, hari ini.

Tambah Ketua Menteri, pihaknya akan berbincang dan yakin perkara tersebut boleh diselesaikan.

“Kami akan membuat keputusan selepas berunding. Ia masih pramatang, lagipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuma akan mengumumkan tarikh esok. Tidak perlu tergesa-gesa,” tegasnya.

Tambah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, beliau akan mengumumkan kesemua 82 calon GPS yang akan bertanding apabila tiba masanya.

Beliau mengulas demikian menjawap soalan pemberita mengenai terdapat pertikaian dan pertindihan antara ketiga-tiga kerusi tersebut berikutan terdapat khabar angin bahawa PBB berminat untuk meletakkan calon-calonnya di yang secara tradisinya diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak