Abang Johari, rakan kabinet beri penghormatan terakhir kepada James Masing pada Rabu

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang akan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing pada Rabu ini.

Turut serta menteri-menteri kabinet, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan timbalannya Datuk Gerawat Gala.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata upacara memberi penghormatan terakhir kepada mendiang James Masing akan dibuat di pusat Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, Jalan Stampin di sini bermula jam 8.30 hingga 9 pagi.

“Selepas itu adalah giliran untuk dif-dif kenamaan dan ketua-ketua jabatan sehingga jam 10.30  pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, Jaul berkata masa untuk orang awam memberi penghormatan terakhir adalah mulai jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang.

“Orang ramai yang datang hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dengan hanya pelawat yang sudah  lengkap menerima  dua dos vaksin Covid – 19 dibenarkan.

“Pelawat yang datang juga digalakkan menjalani ujian RTK kendiri, wajib memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal sepanjang masa.

“Mereka juga diminta mematuhi penggiliran dengan hanya 30 orang sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan pada satu-satu sesi penghormatan,” katanya.

Menurut Jaul, jenazah James Masing akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana di Siniawan, Jalan Kuching – Bau untuk upacara pengebumian selepas selesai upacara penghormatan terakhir pada jam 2 petang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak