Adakah ukur tanah NCR akan diteruskan?

SIBU: Inisiatif baharu penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang bermula sejak 2010 akan diteruskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara telus dan adil selagi rakyat terus memberikan kepercayaan kepada gabungan itu untuk memimpin Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata menerusi inisiatif baharu ini, 780,000 hektar tanah NCR telah diiktiraf dan diwartakan berbanding hanya kira-kira 260,000 hektar menggunakan kaedah lama yang bermula sejak tahun-tahun 1960-an.

“Ini menunjukkan betapa efisiennya kaedah baru ini. Ia dapat dijalankan dengan lebih lancar lagi dengan kerjasama semua pihak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hak Milik Tanah kepada pemilik tanah Hak Adat Bumiputera untuk kawasan Bawang Assan dan Tamin di sini.

Menurutnya Kerajaan Sarawak di bawah GPS sentiasa mengiktiraf pemilikan ke atas tanah NCR di negeri ini, asalkan ada bukti yang sahih mengikut undang-undang yang ada dikemukakan oleh pihak yang menuntut pemilikannya.

“Sebelum menjalankan kerja-kerja penyukatan, kita mengadakan dialog (dengan pemilik tanah NCR). Kita sentiasa telus. Kalau mereka menuntut kawasan yang lebih luas, kita (minta) apa buktinya. Kita pun ada bukti (kita sendiri). Dari sanalah kita bertolak ansurlah (untuk capai penyelesaian),” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua Sarawak berkata sebahagian besar pemilik tanah NCR di negeri ini menghargai usaha kerajaan negeri selama ini untuk mengiktiraf hak pemilikan ini berdasarkan permintaan untuk menyertai inisiatif penyukatan tanah ini.

“Syukur Alhamdullillah sekarang ini banyak lagi permohonan-permohonan yang diajukan. Ini adalah di antara program (pembangunan) berterusan (kerajaan GPS) kita. Kita akan teruskan program ini dan ini akan terus menjadi komitmen kita,” katanya.

Terdahulu di majlis itu Awang Tengah berkata RM40 juta diperuntukkan bagi mempercepatkan lagi kerja-kerja penyukatan tanah NCR ini, sementara jumlah petugas pengukur di bawah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak turut ditambah, yang melibatkan kos RM30 juta setahun untuk tujuan itu.

— BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak