Akauntan wanita rugi RM26,937 diperdaya komisen lumayan

BINTULU: Seorang wanita kerugian RM26,937 selepas terpedaya dengan tawaran kerja separuh masa di laman sosial yang menjanjikan komisen tinggi daripada kegiatan promosi dan pembelian produk secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata akauntan berusia 21 tahun itu tertarik dengan iklan  tawaran kerja separuh masa itu ketika melayari Facebook pada 21 November lalu.

Bagi memudahkannya melakukan kerja separuh masa itu, katanya, mangsa berurusan dengan seorang wanita dan  dijanjikan komisen yang lumayan sehingga 15 peratus dari nilai harga produk yang ditawarkan.

“Oleh kerana tertarik dengan pulangan lumayan yang ditawarkan, mangsa bersetuju untuk melakukan tugas yang diberikan.

” Pada mulanya, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ke atas produk yang diberikan melalui Whatsapp mengikut masa yang ditetapkan dan mangsa telah mendapat keuntungan yang dijanjikan.

“Selepas berjaya melakukan tugasan itu, mangsa diarahkan oleh sindiket untuk melakukan tugasan yang seterusnya sehingga 10 tugasan dan diminta untuk membuat
pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan oleh sindiket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata mangsa menyedari dirinya ditipu, apabila sindiket berkenaan  memberikan pelbagai alasan dan memintanya untuk melakukan tugasan lain bagi melayakkan mangsa untuk menebus modal dan komisen yang ditawarkan apabila mangsa mempersoalkan tentang  wang miliknya termasuk pulangan yang dijanjikan.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pusat Bintulu pada Ahad.

Dalam pada itu, Zulkipli  mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja separuh masa yang menjanjikan pulangan lumayan melalui media sosial dan sentiasa berwaspada dengan taktik-taktik penipuan dalam talian.

Beliau juga menasihati orang ramai agar membuat semakan ke pihak berkenaan sebelum membuat sebarang urusan dari laman sosial Facebook, Instagram, Whatsapp dan lain-lain aplikasi.

Suara Sarawak