Anak derhaka dipenjara lapan bulan

KUCHING: Seorang pembantu peniaga terubuk masin dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut membunuh dan menumbuk muka ibunya.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Ismuie Yusup, 29, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, kerana sengaja mencederakan ibu kandungnya yang berusia 50 tahun dengan menumbuk muka menggunakan kedua-dua tangan.

Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah hendak membunuh mangsa.

Bagi kedua-dua pertuduhan terbabit, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Kampung Sinjan Jaya, kira-kira jam 1.45 petang, 25 April lepas.

Menurut fakta kes, tertuduh telah mengamuk dan bertindak menumbuk muka serta mengugut membunuh ibunya kerana tidak menyediakan makanan untuknya, yang pada masa itu baru bangun tidur.

Selepas menumbuk ibunya, tertuduh bertindak melarikan diri bersama sebilah parang.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri bertindak membuat laporan polis hingga membawa kepada tangkapan tertuduh pada 23 September lepas.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak