APMM tahan kapal tangki lesen tamat tempoh

MIRI: Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri tengah hari semalam atas kesalahan lesen tamat tempoh.

Kapal tangki berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 16 batu nautika dari Barat Laut Tanjung Payung.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri telah mengesan kapal tangki berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan kira-kira jam 10.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh dua kru lelaki warga Indonesia dan seorang kru lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 36 tahun.

“Kesemua kru tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa dan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) kapal tersebut telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kapal bersama tiga kru terbabit ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60.

“Kapal seterusnya diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” jelasnya.

Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

KAPAL tangki ditahan pada jarak lebih kurang 16 batu nautika dari Barat Laut Tanjung Payung.

Suara Sarawak