Askar wataniah maut kemalangan jalan raya

KUCHING: Seorang askar wataniah meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 16, Jalan Bau-Lundu, pagi tadi.

Mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 7.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah simpang Jakan Lama Kampung Stenggang keluar simpang secara mengejut.

“Kemalangan berlaku apabila pikap dalam perjalanan dari arah Bau menuju ke Lundu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat kemalangan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa difahamkan dalam perjalanan turun bekerja menuju ke kem wataniah Batu 7, Kota Sentosa dari Kampung Stenggang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak