Aspirasi bandar pintar

MERENUNGKAN perjalanan kita pada masa hadapan, kita sedar bahawa pembangunan sesebuah bandar perlu dirancang dengan mempertimbangkan keperluan, keupayaan, dan kesesuaian.

Ini kerana, pembangunan terus berlaku merentas masa. Sama ada ia terjadi secara dirancang atau tidak, kita pasti akan melaluinya. Lantas, menjadi suatu keperluan untuk ia dirancang agar segala sumber yang ada diperuntukkan untuk manfaat yang maksimum.

Tanpa kita sedari, evolusi pembangunan juga turut melanda kawasan luar bandar. Perhatikan sahaja, dari desa yang bertukar menjadi pekan kecil, kemudian berubah sedikit demi sedikit dengan perkembangan sosioekonominya dan pertambahan populasi setempat.

Dan akhirnya, kawasan luar bandar juga akan berkembang menjadi bandarbandar baharu. Berdasarkan kajian di bawah rancangan fizikal negara ketiga, Malaysia mengunjurkan sekitar 77 peratus penduduk yang tinggal di bandar pada 2020.

Foto AFP

Peratusan kependudukan ini dijangka meningkat kepada 82 peratus pada 2030 dan seterusnya menjangkau 87 peratus pada 2050. Jelas, kependudukan populasi di bandar akan meningkat tahun demi tahun dengan sendirinya melalui evolusi masa.

Melihat keadaan ini, kita harus bersedia dengan perkembangan yang dijangkakan akan berlaku di bandar-bandar ini. Umumnya, kita sudah terbiasa mendengar masalah-masalah lumrah yang berlaku di bandar seperti kesesakan lalu-lintas, kesesakan tempat awam, banjir kilat, pengurusan sisa buangan, pencemaran alam sekitar, peningkatan gelandangan dan kekurangan rumah mampu milik, serta pelbagai masalah lain yang berkaitan.

Mengenal pasti masalah seperti ini sejak peringkat awal, kita boleh membuat perancangan, memperhalusi pengurusannya serta bidang perkhidmatan perbandaran yang bersesuaian.

Aspirasi bandar pintar ini yang ingin dijelmakan perlu melihat destinasi di negara lain yang boleh menjadi kayu ukur.

Bukan sekadar untuk memenuhi agenda nasional mahupun global, penyesuaian dan pengurusan yang dilaksanakan akan memberi nilai tambah kepada kehidupan warganya secara menyeluruh.

Misalnya, jaringan jalan raya dan pengangkutan yang bersepadu dilihat sebagai keperluan penting bagi memudahkan mobiliti yang selamat dan sistematik.

Penggunaan teknologi pengangkutan dan sistem maklumat yang boleh diakses secara digital boleh membantu dari segi kelancaran urusan warga kota tanpa perlu dilengah-lenghakan lagi oleh kesesakan lalu lintas yang tidak produktif.

Sistem jaringan pengangkutan yang berkualiti dan tinggi bukan sahaja akan memudahkan warga kota, malah selesa dan menarik lebih ramai pengunjung. Senario ini akan membawa peningkatan kepada kegiatan ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang keusahawanan.

Selain itu, apabila aplikasi teknologi digital, inovasi produktiviti, digabungkan dengan kombinasi nilai kreatif, warisan dan budaya, kesepaduan bernafas baharu ini boleh memberi keunikan tersendiri.

Kelebihan bersaing melalui gabungan teknologi yang bersesuaian dengan kapasiti keperluan akan membantu memangkin perkembangan sosioekonomi masyarakat Sarawak.

Lambakan teknologi terkini tidak boleh diambil secara melulu tanpa pertimbangan yang jelas akan teknologi yang bersesuaian. Dengan kata lain, pemilihan inovasi seharusnya bersesuaian dengan unjuran perkembangan industri dan keperluan demografi daripada pelbagai variasi teknologi canggih.

Sebagai contoh, keperluan kesihatan dan kebajikan warga tua perlu diteliti bagi mengelakkan golongan ini terperangkap dalam kepesatan bandar yang semakin pesat berkembang.

Bayangkan diri kita sendiri berada dalam masa sepuluh atau lima belas tahun akan datang. Atau, bagaimana agaknya golongan pesara yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan menjalani rutin pemeriksaan dengan suasana kesesakan lalu lintas dan keadaan pusat rawatan yang tidak selesa atau serba tidak mencukupi? Ya, pastinya tidak semua orang mampu membelanjakan wang dengan peruntukan yang besar untuk rawatan yang kondusif.

Lantaran itu, jika kemudahan dengan keselesaan yang boleh dirancang untuk dimanfaatkan oleh ramai orang, ia adalah kesan kemajuan yang kita inginkan. Begitu juga dengan pengurusan sampah dan sisa buangan yang mungkin akan menghadapi masalah ekoran perancangan yang tidak dibuat awal.

Kita harus beringat bahawa kos pemulihan dan pemuliharaan akan lebih tinggi jika tindakan perlu dibuat setelah situasi menjadi parah. Justeru, mencegah kemudaratan adalah lebih mudah dan lebih baik daripada memperbaikinya selepas timbulnya pelbagai permasalahan.

Jelas, teknologi yang dipilih dan dimiliki haruslah diaplikasi untuk meningkatkan kecekapan produktiviti dan penambahbaikan gaya hidup sedia ada.

Aspirasi futuristik yang berkonsepkan ‘jimat masa dan tenaga’ ini begitu seiring dengan budaya digital nomad dalam sektor pekerjaan dan perniagaan. Kita tidak lagi membiarkan sumber manusia menghabiskan masa mereka dengan kesesakan trafik. Begitu juga dengan idea dan kebolehan terus dibazirkan dengan masa menunggu yang bersifat fizikal.

Bandar pintar perlu dilengkapi dengan masyarakat yang bersedia dari segi pengetahuan serta keupayaan yang berpadanan dengan teknologi yang ada. Melengkapkan teknologi dan infrastruktur digital boleh dibuat dengan pelaburan besar.

Namun, bukan mudah untuk melengkapkan warga yang bersedia dan beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang dinamik yang akan sentiasa berlaku dalam bandar pintar.

Selain masalah fizikal infrastruktur yang bersesuaian dengan kapasiti perbangunan yang bersifat tidak statik, kita juga perlu melihat pengurusan yang berkaitan dengan masalah bukan fizikal seperti peningkatan gaya hidup, kualiti, inovasi, serta pengurusan emosi di pelbagai peringkat.

Pengetahuan yang setara dengan perkembangan dunia digital amat penting bagi mengelakkan risiko jenayah siber yang mungkin akan berlaku.

Kesimpulannya, aspirasi bandar pintar membawa makna tentang hari-hari yang akan kita lalui pada masa hadapan. Ia merupakan ukuran bagaimana kita memadankan keperluan hari esok dengan penambahbaikan masa kini dan pemadanan teknologi pintar.

Hasilnya yang kita samasama impikan ialah masyarakat pintar dan berdaya saing dalam bandar pintar yang terurus, terancang dan selamat.

• Dr. Aila Latif ialah Pensyarah Kanan dalam bidang pengurusan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak