Atlet Muaythai Sarawak sertai Kejohanan Muaythai Dunia IFMA 2021 di Bangkok

KUCHING: Kejohanan Muaythai Dunia IFMA 2021 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 3 hingga 12 Disember nanti dilihat sebagai landasan terbaik buat atlet Muaythai Sarawak meraih pengalaman baharu.

Di samping itu, ia juga peluang mereka untuk meningkatkan prestasi diri, mengambil kira pembabitan ramai atlet handalan dari pelbagai negara.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata beberapa orang atlet Muaythai Sarawak turut serta dan mewakili Malaysia dalam kejohanan itu.

“Pemenang pingat emas di Kejohanan Muaythai Asia, Abu Dhabi 2019 kategori remaja, Elias Ghazali Zulfikar akan bertanding dalam Kategori Elite Bawah 23 Tahun (60 kg).

“Manakala adiknya Mohd. Johan Ghazali Zulfikar akan bertanding dalam Kategori Remaja 14-15 Youth (57 kg),” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Selain itu, beberapa kelab tempatan dari Sarawak yang turut menghantar atlet remaja dan senior mereka bertanding dalam kejohanan itu dengan segala kos yang dibiayai sendiri.

Jumaat pada masa sama yakin ada kalangan atlet Muaythai Sarawak mampu membuat kejutan pada kejohanan itu kelak.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu beberapa kejohanan bertaraf dunia akan berlangsung di Malaysia, antaranya Kejohanan Muaythai Antara Kelab Kebangsaan dan Kejohanan Muaythai Remaja Dunia.

Semalam berlangsung majis ringkas penyerahan bendera Sarawak yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee dan turut dihadiri oleh Jumaat serta beberapa atlet Muay yang lain.

Suara Sarawak