Bakar motosikal bapa, lelaki dipenjara 7 bulan

KUCHING: Padah membakar motosikal bapa hingga menyebabkan kerugian RM7,000, seorang lelaki pencegah syirik dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Maris Agan Menjatuhkan hukuman terhadap Muhammed Ali Ahmad, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan apabila membakar sebuah motosikal milik bapanya hingga menyebabkan kerugian RM7,000.

Tertuduh melakukan perbuatan terbabit di kediaman mereka di Kampung Tabuan Dani, Jalan Tabuan Melayu, kira-kira jam 10.30 pagi, 5 November lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, pengadu (bapa) melihat anaknya menyembur kerosin di atas motosikal miliknya di hadapan rumah mereka lalu membakar kenderaan berkenaan.

Kemudian, tertuduh sengaja mempertontonkan motosikal yang sedang terbakar dihadapan kedua-dua ibu bapanya.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, terdapat salah faham antara tertuduh dengan keluarga hingga menyebabkan insiden terbabit berlaku.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak