Berkempen guna Tik Tok?

YANG lama dikelek, yang baharu didukung.

Itulah realiti Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang bakal kita hadapi bulan hadapan. Maknanya ada cara lama untuk berpilih yang kekal diamalkan dan pada masa yang sama ada cara baharu yang perlu dipraktikkan.

Cumanya, prosedur operasi standard (SOP) sebenar belum dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagaimanapun, sekurang-kurangnya jentera parti masing-masing sudah bersedia dengan rangka strategi untuk memenangi hati rakyat, sama ada di kem kerajaan mahupun blok pembangkang.

Misalnya penggunaan media sosial sebagai platform paling hadapan untuk berkempen. Lebih-lebih lagi dijangka tiada kempen bersemuka atau kempen rumah ke rumah juga tidak dibenarkan.

Jentera parti atau bakal calon adakah telah melakukannya? Sudah ada akaun Facebook, YouTube, Tik Tok dan sebagainya? Ada yang bertanya mengapa?

Untuk pengetahuan, jumlah pengguna aplikasi media sosial itu sangat tinggi.  Memetik We Are Social (Januari 2021), Facebook memiliki jumlah pengguna aktif bulanan sebanyak 2.7 bilion menjadikan platform buatan Mark Zuckerberg sebagai media sosial yang paling banyak digunakan di dunia.

YouTube dan WhatsApp masing-masing memiliki pengguna lebih 2.3 bilion dan dua bilion. Yang dibimbangi mengambil enteng perkara ini adalah kelompok kem kerajaan.

Di blok pembangkang usah cakap lagi, dan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018 menjadi bukti cukup jelas bagaimana platform media sosial membantu memenangkan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, jentera parti harus mengambil iktibar. Maksudnya, jika sudah ada Facebook, YouTube, Tik Tok dan sebagainya, maka gunakan sebaik mungkin.

Jika tidak pandai, guna inisiatif lain untuk memastikan ia berfungsi, dan jangan hangat-hangat tahi ayam. Ada akaun media sosial, sekadar untuk menyampaikan sesuatu, komunikasi sehala, rakyat hanya mendengar dan melihat tetapi untuk bercakap?

Rakyat tidak berpeluang untuk berkomunikasi dengan bakal calon dan kepimpinan akar umbi, ini pastinya tidak adil. Penulis tidak menafikan, ramai mantan wakil rakyat yang aktif di media sosial dan itu satu kelebihan bagi mereka.

Bagi yang ke belakang dalam soal itu, anjak-anjakanlah diri sendiri ke depan. Sedarilah perubahan sesuai norma baharu itu penting.

Betul isu liputan rangkaian Internet menjadi sebab mengapa ada pihak mengambil mudah soal penggunaan media sosial terutama luar bandar.

Tetapi, jika sekadar untuk rakyat mengikuti perkembangan di mana-mana media sosial rasanya tiada masalah walaupun perlu bertunggu.

Jangan takut mengeluarkan modal yang sedikit besar bagi memantapkan kandungan masing-masing. Hari ini orang melihat bagaimana kita menyesuaikan diri dengan perubahan masa terutama golongan muda.

Namun, harus diingat dalam merekayasa kandungan untuk menarik pengundi, jauhi pembohongan dan fitnah. Hari ini kita melihat pelbagai isu diputar belit oleh dengan sesuka hati untuk menjatuhkan pihak lawan sehingga mengelirukan rakyat.

Sedangkan banyak lagi kandungan menarik yang boleh dibuat, misalnya pembangunan di kawasan, kebajikan, kawasan-kawasan menarik, aktiviti ekonomi masyarakat dan sebagainya.

Dalam sehari dua, adakan satu sesi langsung di media sosial, ini juga usaha mendekatkan diri dengan rakyat, buat sesi soal jawab ringkas berhubung isu rakyat.

Sebagai rakyat, mereka harus dapat membezakan soal pembohongan dan fitnah dengan apa yang sebenarnya yang berlaku, jangan mudah percaya.

Bagaimanapun penulis percaya, rakyat di kawasan mampu menilai dengan sebaiknya kemampuan sesbuah parti dan wakil rakyat mereka. Ingat, kertas undi yang dipangkah pada hari mengundi akan menentukan ke mana kita lima tahun akan datang.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak