Berniaga untuk BANTU suami

KUCHING: Berhasrat membantu suami dalam menambah pendapatan, Nur Nazizi Zaidel, 29, tekad menceburi bidang perniagaan makanan.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata, dirinya mulai berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 2017.

“Setelah berhenti kerja saya menyimpan niat menjaga anak-anak sepenuh masa sambil mencari rezeki dari rumah.

“Jadi saya memilih menjalankan perniagaan makanan seperti Takoyaki, Swedish Meatball dan Hanjuku Cheesecake yang kini menjadi sumber pendapatan tetap,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Nur Nazizi, selain melihat peluang besar dalam perniagaan tersebut, minat yang mendalam terhadap makanan Korea itu juga mendorongnya mencuba nasib.

Meskipun, hanya menjalankan perniagaan tersebut dari rumah, namun Nur Nazizi banyak menggunakan platform media sosial mempromosinya.

“Selama ini, saya hanya mengambil pesanan pelanggan melalui tempahan yang diadakan secara dalam talian.

“Biasanya, saya menghantar jualan sebagai vendor ke gerai di bahu jalan, seperti di Teh Pyorr Gita, Cangke Besa Kch, Stall Abc Nonoi Matang Jaya dan juga di Koperasi Politeknik Kuching Sarawak,” katanya lagi.

Mengulas harga Takoyaki yang dijualnya, Nur Nazizi berkata, ia bergantung dengan saiz dan isi yang disiapkan.

“Setakat ini, saya menawarkan tiga jenis isi takoyaki iaitu ayam, sotong (Chuka Idako) dan isi campur dengan tiga pilihan saiz.

“Untuk bebola daging Swedish, ia masing-masing dijual dengan harga RM5.50 dan RM10 untuk saiz kecil dan besar,” katanya lagi.

Manakala, untuk Hanjuku Cheese Cake ia juga ditawarkan dalam beberapa jenis perisa iaitu asli dengan harga RM12 lima biji, coklat lima biji RM14 dan campuran lima biji RM13.

“Namun buat masa ini, saya tidak menyediakan sebarang perkhidmatan hantaran kerana belum mempunyai pembantu.

“Pelanggan boleh dapatkan produk saya di vendor berdekatan, pelanggan juga boleh membuat pesanan terlebih awal untuk mengambilnya di rumah pada waktu ditetapkan,” katanya lagi.

Tidak dinafikan cabaran Covid-19 turut menjejaskan perniagaannya, Nur Nazizi mendedahkan operasi niaga yang dijalankan ada pasang surutnya.

“Saya tetap bersyukur kerana sambutan pelanggan amat mengalakkan dan saya menerima banyak tindak balas positif daripada mereka.

“Keistimewaan makanan yang saya tampilkan adalah dari aspek bahannya yang saya hasilkan sendiri,” katanya lagi.

Nur Nazizi turut menyuarakan harapannya agar perniagaannya semakin maju dan mampu membuka kedainya sendiri memudahkan pelanggan mendapatkan makanan itu.

“Saya berharap suatu hari nanti saya mampu mempunyai kakitangan sendiri meluaskan empayar takoyaki dan beberapa produk lain ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.

Pelanggan boleh layari Facebook dan Instagram Nur Zizi atau hubungi talian 011-31779092 untuk tempahan dan maklumat lanjut.

Suara Sarawak