Bomba Sarawak tidak pernah menolak tugas menyelamat

KUCHING: Tempoh lebih 22 bulan menghadapi pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak untuk memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang menerima laporan kecemasan daripada pihak awam.

Pengarah Bomba Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata tiada sebarang laporan diterima mengenai jabatan menolak untuk tugas-tugas menyelamat yang diterima daripada masyarakat awam.

Malah, katanya beberapa pegawai bomba turut didapati positif menyebabkan beberapa balai bomba menghadapi kekurangan anggota, namun masih dapat dikawal dengan bantuan daripada balai-balai berdekatan.

“Dalam tempoh lebih kurang 22 bulan ini, kita dapat meletakkan kedudukan jabatan bersama agensi-agensi terutamanya dari segi isu keselamatan.

“Selaras dengan cogan kata perkhidmatan cepat dan mesra, kita telah mempamerkan perkhidmatan (menjalani tugas) dengan baik khususnya kepada masyarakat.

KENANGAN… Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Sarawak Datuk Khirudin Drahman@ Hussaini (enam berdiri dari kiri) bersama 13 pesara bomba dalam Majlis Apresiasi Pesara Tahun 2021

“Misalnya kini, kita tidak lagi memerlukan masa panjang bahkan tidak sampai 25 minit untuk sampai ke kawasan Mulu dengan menggunakan helikopter milik jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pesara Tahun 2021 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak yang dijalankan di Enjin Bay Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, malam tadi.

Jelas Khirudin, setiap permintaan kecemasan daripada pihak di kawasan daerah, bahagian amat dititikberatkan di samping memberikan maklum balas pantas kepada pihak yang memerlukan.

Sementara, majlis menyaksikan seramai 34 pegawai bomba bersara, terdiri daripada 16 pegawai kategori bersara wajib, 16 bersara pilihan dan dua orang senarai pesara bersara atas sebab kesihatan.

Menurut Khirudin, majlis diadakan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pesara bomba dalam mengharungi cabaran dan tugas-tugas sepanjang berkhidmat dalam jabatan bomba sebelum ini.

Majlis turut menyaksikan seramai 13 pengamal media menerima sijil penghargaan daripada JBPM Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak