Buruh didenda, rosakkan kereta warga emas

KUCHING: Padah merosakkan sebuah kereta milik warga emas hingga menyebabkan kerugian RM2,000, seorang pekerja buruh dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara sepuluh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Abdul Fawwaz Sulaiman, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia yang berasal dari Asajaya telah merosakkan kereta jenis kompak milik Goh Yian Lee, 75, di tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Jalan Tun Jugah, sekitar jam 8.20 malam, 21 Oktober lepas.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan pengawal keselamatan yang sedang bertugas mendapati seorang lelaki (tertuduh) telah mengamuk dan bertindak memecahkan cermin hadapan kereta milik mangsa.

Selain itu, pengadu juga mendapati pintu hadapan dan belakang sebelah kiri telah kemek disebabkan tertuduh.

Difahamkan, tertuduh disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak