Cabaran imam masjid

LEBIH 16 tahun berkhidmat di Masjid Setia Raja Mukah, ustaz Jammie Andrew, 45, memperoleh pengalaman yang cukup bermakna dalam kerjayanya sebagai imam

Berusia 45 tahun, nama Ustaz Jammie yang berasal dari Kampung Tengah Petanak, Mukah tidak asing bagi masyarakat Islam di daerah ini.

Walaupun beragama Islam, beliau merasai sendiri kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang berbilang agama dan kaum.

Bagi masyarakat Melanau sendiri, mereka mengutamakan kehidupan harmoni — tinggal sebumbung walaupun berbeza kepercayaan dan agama khasnya dalam kehidupan berkeluarga.

Bagi masyarakat luar dari Mukah, apabila mendengar nama Ustaz Jammie Andrew, ada yang memberikan pandangan tersendiri mengenainya.

Bapa kepada empat anak ini menjelaskan, beliau adalah generasi kedua mualaf selepas bapanya yang memeluk Islam terlebih dahulu dalam keluarganya.

Berkongsi lanjut katanya, namanya menarik perhatian banyak pihak sehingga ada yang mempersoal dan meragui namanya, namun nama itu mempunyai cerita tersendiri.

“Apabila orang dengar nama saya, ada yang terkejut. Saya sebenarnya generasi kedua selepas bapa saya memeluk Islam.

“Kita tahu orang zaman dahulu kalau agama dah bertukar ke Islam, mereka memang tidak peduli sangat nak tukar nama pada kad pengenalan dan semuanya.

“Bagi masyarakat Melanau di Mukah di sini, sekiranya nama ada bin atau binti tapi dia bukan muslim, kita tahu dia Melanau.

“Disebabkan nama pada kad pengenalan bapa tidak ditukar, jadi apabila kita buat surat beranak nama pun tidak bertukar.

Akhirnya nama saya pun jadi Jammie bin Andrew… ia begitu unik,” katanya.

Tambahnya lagi, nama “Jammie” diberikan oleh bapanya sempena nama watak Jaime Sommers dalam drama Hollywood iaitu Bionic Women pada 1976.

“Nama Jaime ini bapa ubah sikit, untuk dijadikan nama lelaki bapa ubah kepada Jammie dan diberikan kepada saya,” kongsinya.

Beranikan Diri

Berkhidmat di Masjid Setia Raja Mukah sejak 2005 hingga kini, beliau bersyukur atas sokongan dan galakan temannya yang mahukan beliau menerima jawatan imam dua.

Ketika ditemui Suara Sarawak di Bilik Syura, Masjid Setia Raja Mukah baru-baru ini, Ustaz Jammie cukup merendah diri dan sudi berkongsi perjalanan hidup, senang diajak berbicara, lemah lembut dan mesra.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Petanak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers Mukah, kemudian menyambung pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan sekitar 1995.

Semasa berada di Kelantan, banyak pengalaman diperoleh yang membantu beliau terjun dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Sebelum menyertai Masjid Setia Raja Mukah pada 2005, saya bertugas dengan Hikmah Mukah sejak 1999 iaitu selepas keluar dari IDIP.

“Pada waktu itu, saya diminta mengisi jawatan kosong di masjid. Pada awalnya, memang saya tolak sebab usia ketika itu baru 23 tahun… masih muda.

“Sebabnya? Bukan mudah untuk duduk di hadapan khalayak ramai sama seperti paderi atau individu yang mengetuai mana-mana rumah ibadat.

“Saya sebenarnya menolak, tetapi saya perlu beranikan diri untuk berkhidmat dengan masyarakat. Saya berusaha melaksanakan peranan saya sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Tokoh Imam

Sempena Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan 2021 di Kompleks Islam Sibu pada 10 November lalu, beliau menerima Anugerah Tokoh Imam Negeri Sarawak yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Anugerah itu rezeki daripada Allah SWT. Ia kejayaan dan penghargaan untuk semua jemaah Masjid Setiaraja Mukah yang banyak membantu saya untuk terus bergerak.

“Termasuk juga sokongan dan dorongan ahli keluarga, ahli jemaah masjid dan ahli jawatankuasa masjid yang banyak membantu serta pegawai masjid.

“Mudah-mudahan dengan adanya anugerah ini, kami lebih bersemangat membantu ahli kariah di sekitar Mukah.

“Anugerah ini bukan untuk dibangga-banggakan.

Biarlah anugerah ini menjadi penyuntik semangat untuk saya untuk terus memberi perkhidmatan terbaik, untuk terus menyantuni ahli kariah di Daerah Mukah ini.

“Saya harap pengalaman yang saya ada ini dapat dikongsi dan memberi inspirasi kepada semua khasnya kepada anak-anak muda sekitar Mukah,” katanya.

Baginya, sebagai imam di Masjid Setia Raja Mukah tanggungjawab yang dilaksanakan tidak sama dengan pekerjaan lain pada waktu pejabat.

Jelasnya, ini kerana urusan kematian dan pengurusan jenazah tidak mengira masa tetapi perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Misalnya, malam tadi kita selesai melaksanakan pengurusan jenazah sekitar jam 9.00 malam.

Peranan kita tidak mengira waktu.

“Saya sebenarnya sangat berterima kasih kepada ahli keluarga yang begitu memahami tugas saya sebagai imam.

“Begitu juga kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Setia Raja Mukah sejak zaman dipengerusikan Haji Ali Suhaili hingga kini diketuai Haji Ismail Mawi.

“Termasuk semua jawatankuasa selain semua sahabat saya, imam satu, bilal yang banyak membantu dalam gerakan saya… tidak lupa juga kepada Jabatan Agama Islam Sarawak,” jelasnya.

Beliau juga berterima kasih kepada Ustaz Awang Yusshamry Awang Yusof dari Jabatan Agama Islam Bahagian Mukah atas kepercayaan, ruang dan peluang kepadanya sehingga menerima anugerah berkenaan.

“Ini merupakan peluang untuk saya… mudah-mudahan Allah terus bantu saya untuk membantu dan menyantuni masyarakat di Mukah,” tambahnya.

Cabaran Covid-19

Katanya, sebelum Covid-19 melanda, program ziarah dan dakwah prihatin tetap diteruskan di sekitar Mukah.

“Kita cuba bantu apa-apa yang dapat kita bantu.

Contohnya ketika ramai individu dikuarantin, kita cuba bantu dengan menghulurkan makanan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak