Cabaran kempen media sosial

DUNIA perlu menerima hakikat bahawa kehidupan ketika dilanda Covid-19 memang memerlukan teknologi, terutama media sosial.  Kita melihat sendiri bagaimana prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka dikuatkuasakan dan tiada kempen secara tradisional atau konvensional seperti berkumpul beramai-ramai dibenarkan.

Ini merupakan cabaran besar kepada wakil rakyat atau jentera parti masingmasing untuk berkempen, khususnya mereka yang berada di pedalaman.  Kita tahu, yang berlaku ini bukan satu perkara mudah dan ia juga memberi tekanan kepada banyak pihak.

Mahu atau tidak, kita perlu menerima hidup hari ini memerlukan kemahiran dalam teknologi.  Menjadi masalah adalah akses kepada golongan luar bandar khususnya warga emas yang mungkin tidak mempunyai gajet atau telefon pintar.

Boleh dikatakan mereka juga tidak mempunyai kemahiran.  Tidak cukup dengan itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pertama kali bertanding menggunakan logo baharu.

Jadi, apakah cara terbaik untuk memperkenalkan kepada golongan tersebut tentang logo itu? Bagaimanakah mereka akan membuat pecutan akhir ketika ini?

Tidak cukup dengan itu, kita melihat sendiri wakil rakyat khususnya GPS memang menyatakan ketersediaan untuk menghadapi PRN Sarawak, sekali gus bersedia melaksanakan kempen dalam talian.

Ini merupakan semangat baharu, tetapi kita juga tidak boleh menjangkakan cara yang akan dilaksanakan di Sarawak, sama ada ia sama seperti di Melaka atau negeri lain.

Itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan bermesyuarat pada 24 November ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap SPR dapat tampil dengan SOP yang bersesuaian untuk dilaksanakan di Sarawak pada PRN-12 kelak.

Ia termasuk menilai situasi semasa selain keadaan geografi di negeri ini. Kekangan akses Internet juga perlu diberi keutamaan dan pertimbangan sekiranya tiada kempen secara konvensional dibenarkan.

Katanya, kempen pilihan raya dalam suasana Covid-19 sudah tentu memberi cabaran besar, namun sekarang SPR belum mengeluarkan SOP untuk PRN Sarawak.

Mengulas mengenai penggunaan platform media sosial sebagai medium kempen pilihan raya, Abang Johari  berkata, ia akan memainkan peranan utama khususnya di kawasan yang mempunyai akses Internet.

Bagaimanapun jelasnya, ia akan menjadi masalah kepada kawasan yang tiada akses Internet khususnya pedalaman.

Sebab itu, ia bergantung kepada SOP yang akan diumumkan oleh SPR kelak — sama ada mereka membenarkan calon atau jentera parti mahupun ejen pilihan raya untuk bergerak ke kawasan kampung dan rumah panjang yang tidak mempunyai akses Internet.

Dalam hal berkaitan, ada juga wakil rakyat yang sudah bersedia untuk menghadapi kempen dalam talian sekiranya tiada kempen fizikal dibenarkan. Ia bukan sahaja dinyatakan oleh pihak kerajaan tetapi juga parti pembangkang.

Bagi penyandang kerusi Dun Saribas Mohammad Razi Sitam, mereka sudah bersedia untuk menghadapi PRN Sarawak dan kempen dalam talian — menggunakan media sosial.

Beliau juga memaklumkan bahawa mereka sudah menyiapkan jentera parti untuk menjalani kempen dengan cara baharu, sekali gus sudah mempunyai kumpulan yang dipersiapkan, dilatih serta menyertai kursus berhubung kempen dalam talian.

Ini perkembangan yang baik dan menunjukkan bahawa wakil rakyat juga mementingkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Ini yang kita mahu supaya pelaksanaan PRN Sarawak tidak menjadi punca kepada peningkatan kes.

Pada masa yang sama, DAP Miri juga akan menumpu tenaga dan sumber kempen pilihan raya di media sosial.   Setiausaha Negeri Alan Ling berkata, ini ekoran SOP kempen lebih ketat dijangka dilaksanakan pada PRN-12 Sarawak.

Menurutnya, “Kali ini kita akan tumpukan jentera pilihan raya kepada penggunaan sosial media kerana kita telah kehilangan tradisi mengadakan ceramah terbuka.” Kita tidak mempunyai peluang untuk bersemuka dengan pengundi seperti dahulu kerana SOP ketat. Kita boleh lihat SOP diguna pakai di Melaka.

SOP sama juga akan diguna pakai di Sarawak — mungkin lebih ketat lagi.  Rakyat juga berharap agar SPR dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas mesyuarat pada 24 November ini kerana dalam keterujaan rakyat untuk menunjukkan sokongan kepada parti pilihan masing-masing, keselamatan ketika hidup dalam pandemik Covid-19 ini sangat penting.

Warga emas yang perlu keluar menunaikan hak mengundi perlu diambil kira. Jangan hanya mementingkan jumlah undi untuk sokongan semata-mata. Keselamatan golongan berisiko seperti itu perlu diberikan keutamaan.  Kebijaksanaan pengurusan PRN Sarawak kelak akan menjadi sandaran rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak