Ceroboh Astana Negeri kerana ingin berjumpa TYT, penganggur dipenjara 3 bulan

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atau denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan menceroboh masuk kawasan Astana Negeri Sarawak dan ingin bertemu dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Firdaus Mohamad Ali, 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 6.46 pagi, 15 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, Petugas Kawalan Keselamatan Kediaman TYT telah menangkap seorang lelaki kerana gagal memberi alasan munasabah masuk ke kawasan Astana dan tidak melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Tertuduh dilihat berlegar-legar di kawasan berhampiran kediaman TYT dalam keadaan berhalusinasi serta memberi kerjasama semasa ditangkap.

Pemeriksaan lanjut terhadap tertuduh juga tidak menjumpai barang terlarang dan tiada kerosakan serta kerugian.

Tertuduh yang tidak mempunyai jenayah rekod lampau menyatakan niatnya ingin bertemu TYT namun gagal menjelaskan tujuan utamanya.

Dia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak