Dua sahabat didenda RM10,000, terlibat judi dalam talian

KUCHING: Dua orang sahabat masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Florensi Guchien,29, dan Lenicker Libin, 21,selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengendalikan mesin judi sebuah pangsapuri di Jalan Stephen kira-kira jam 11.20 pagi, 13 Ogos lepas.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak