Empat warga asing dipenjara lapan tahun dan terima tiga sebatan kerana rompak kapal tangki

BINTULU : Mahkamah Seksyen Bintulu menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan terhadap empat warga asing atas pertuduhan merompak kapal tangki TESAI di perairan Bintulu pada tahun 2018.

Tertuduh, Arif , 39, Ismail Laode , 49, Anuar, 43, dan Jefri, 37, mengaku bersalah sebelum prosiding pembelaan oleh pihak tertuduh dimulakan di hadapan Hakim Noor Norhamizah Shaifuddin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa atas kesalahan merompak kapal tangki TESAI yang membawa tiga kru kapal termasuk kapten di perairan Bintulu pada 4 Ogos 2018.

Keempat-empat tertuduh sebelum ini telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan dengan tiga sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 di mahkamah yang sama pada September 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun beserta sebatan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Ilham Kamaruddin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela.

Sementara itu, pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, Maritim Malaysia percaya dengan tumpasnya ahli sindiket kumpulan ini, pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa siri kes rompakan di laut yang dilaporkan sekitar tahun 2016 sehingga tahun 2018.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang jenayah maritim di samping sentiasa memastikan setiap pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Ends//


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak