Gaduh bersenjata di Kota Sentosa, seorang lelaki ditahan polis

PADAWAN: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata di Kota Sentosa pada 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abg Ahmad berkata, suspek, 30 tahun ditahan di sebuah restoran di Bandar Baharu Batu Kawah, kira-kira jam 4.30 petang Khamis lalu.

Katanya, beberapa barangan telah dirampas daripada suspek termasuk motosikal, telefon bimbit serta taji ayam bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah, tiga kesalahan jenayah dan motosikal yang digunakan mempunyai rekod hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, seorang lelaki berumur 40 tahun didatangi beberapa lelaki bersenjatakan parang panjang dan kayu golf menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala serta anggota badan.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan masalah rumah tangga.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan sedang giat mengesan suspek yang masih bebas,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

SUSPEK ditahan polis disyaki terlibat dalam pergaduhan di Kota Sentosa 27 Oktober lalu.

 

BARANG suspek iaitu bag silang, telefon bimbit dan taji ayam dirampas polis.
Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak