GPS boleh menang di lapan kerusi Bidayuh – Richard Riot

SERIAN: Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem tidak menolak kemungkinan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi kesemua lapan kerusi Bidayuh pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.

Lapan kerusi berkenaan adalah Dun Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.

Bagaimanapun, beliau menegaskan agar mereka tidak mendabik dada sebaliknya bekerja keras untuk memenangi kerusi terbabit.

“Lapan kerusi Bidayuh ini boleh menang, tetapi jangan sesekali angkuh dalam politik.

“Undi adalah di tangan pengundi, kalau kita angkuh, marah, kita akan menyesal, itu komen saya. GPS boleh menang, tapi jangan sombong jangan angkuh, kerja keras,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama Majlis Daerah Serian, Prihatin Keluarga Malaysia Sarawakku Sayang di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Serian, hari ini.

Richard yang juga Timbalan Presiden SUPP berkata dengan bekerja keras barulah mereka boleh menang di semua kerusi berkenaan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak