Harga tiket tidak masuk akal!

KUCHING: Semua syarikat penerbangan tempatan digesa menurunkan harga tiket dengan segera, khususnya bagi penerbangan ke Sarawak yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penurunan harga tambang itu perlu dilaksanakan tanpa perlu melibatkan campur tangan kerajaan secara berlebihan dalam pengoperasian tersebut.

“Kerajaan memahami keresahan dan maklum balas orang ramai mengenai harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi menjelang musim cuti penghujung tahun ini dan awal 2022.

“Secara khususnya, ramai yang telah melahirkan rasa marah terhadap tambang penerbangan ke Sarawak yang luar biasa tinggi.

\”Kerajaan memandang serius perkara ini dan telah mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh bagi menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah terlibat secara aktif dengan pemain industri dan kerajaan negeri untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke semua destinasi termasuk mengambil kira usaha berterusan dalam membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

“Seperti yang telah saya nyatakan dalam kenyataan bertarikh 3 dan 6 November lalu, antara jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menambah kekerapan penerbangan ke pelbagai negeri.

“Dengan itu, tambang penerbangan akan ditentukan oleh mekanisme penetapan harga secara dinamik yang dipacu oleh pasaran dengan mengambil kira bekalan dan permintaan, keadaan ekonomi, kos bahan api, dan faktor operasi lain yang berkaitan,” ujarnya.

Katanya lagi, MOT telah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin pada 18 November untuk meminta kerajaan negeri mengembalikan keputusan mengawal selia frekuensi perkhidmatan penumpang udara kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“MOT memahami sepenuhnya, kerajaan negeri dan agensi berkaitan mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan dan permintaan bergerak seimbang serta membenarkan syarikat penerbangan meningkatkan frekuensi perkhidmatan mereka berdasarkan pengoperasian yang dipacu oleh pasaran.

“Pada masa sama, semua pihak juga bertanggungjawab untuk mematuhi protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan Covid-19. “Oleh itu, berdasarkan keputusan kabinet semalam, MOT telah memanggil syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat dengan menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini,” tegasnya.

Menurutnya, sejurus pertemuan ini MAS telah berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada Disember, sekali gus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri ini.

“MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia untuk meluluskan lebih banyak lagi kekerapan penerbangan.

“JPBN juga telah memutuskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke Sarawak kepada MAS, Firefly, AirAsia, Malindo, dan Scoot (Singapura), bermula 4 Disember hingga 5 Januari 2022.

“Kami berharap kerajaan negeri akan segera mengembalikan jumlah kekerapan tersebut kepada 502, sama seperti sebelum pandemik,” tambahnya.

Kerajaan katanya, mengingatkan semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini.

“Ini persepsi orang ramai yang perlu ditangani oleh syarikat penerbangan,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak