Hasidah: Dun Sarawak bubar automatik, tunggu SPR umum tarikh

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar secara automatik apabila Proklamasi Darurat ditamatkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Wanita PBB Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, oleh itu Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.

“Apabila Proklamasi Darurat (Sarawak) ditarik balik, secara automatik Dun terbubar dan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Jadi sekarang, kita menunggu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan bila tarikh penamaan calon serta hari mengundi,” katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani MOU antara Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd dan Asteel Group di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat (Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada Rabu, Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Sarawak pada 29 Julai 2021 dibatalkan berkuat kuasa 3 November 2021.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak