Jadikan nilai murni pedoman hidup

KUCHING: Sebuah program kebudayaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) iaitu Budi Kita: Sarawakku Sayang 2021 diadakan di Hotel Merdeka Palace, di sini, pada Khamis.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Salmah Jobeli berkata, program secara fizikal dan dalam talian itu dihadiri 45 penggiat seni pelbagai cabang untuk melestarikan seni dan budaya di Sarawak.

“Pelaksanaan program ini dibiayai geran di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan berjumlah RM45,000 yang memanfaatkan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya dalam pelbagai bentuk.

“Menerusi program ini, diharap amalan nilai murni dan budi bahasa dapat disemarakkan bagi membentuk nilai budaya tinggi selari Dasar Kebudayaan Negara (Daken) seperti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub,” katanya.

Tambahnya, program tersebut juga merupakan apresiasi bakat penggiat seni dalam bentuk penyediaan platform persembahan bagi menyemarakkan lagi semangat serta menambah nilai mutu persembahan untuk bergerak ke pasaran global.

Program bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu turut mendedahkan kepentingan kebudayaan dalam kalangan masyarakat setempat melalui pelbagai slot yang disediakan.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai persembahan menarik dipersembahkan seperti tayangan video, tarian tradisional dan nyanyian termasuk persembahan peserta’Sarawak Got Talent 2021.

Sijil Rakan Kerjasama, sijil peserta, sijil pencipta lagu, penulis lirik, susunan muzik dan penyanyi juga diberikan kepada peserta yang mengambil bahagian.

Selain itu, bantuan bakul makanan turut disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop kepada 19 penggiat seni bagi membantu mereka terjejas akibat pandemik.

Majlis diakhiri acara memukul kompang sebanyak tiga kali oleh Mesran diikuti tiga lagi paluan daripada Salmah untuk merasmikan program kesenian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS) Sharkawi Amit, Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman turut hadir.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak