Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib

KUCHING: Jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah ditubuhkan dan dianggotai sepuluh individu merangkumi menteri, pakar perundangan, perubatan dan panel siasatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan pada 29 Oktober lalu.

“Ia adalah untuk memastikan siasatan yang menyeluruh dan telus serta pembelaan yang sewajarnya dapat dibuat terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Wan Junaidi, beliau akan mempengerusikan pasukan petugas khas berkenaan bersama dua lagi menteri iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Keahlian pasukan ini turut membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim; Pakar Perunding Patologi Forensik, RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC), Datuk Dr Bhupinder Singh dan Profesor Ulung, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Looi Lai Meng.

“Selain itu, ia turut dianggotai bekas Profesor Madya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy, Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azari Abd Rahman dan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM, SAC Mohammad Abd Hamid,” jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi jawatankuasa khas ini.

Berhubung penubuhan jawatankuasa khas ini katanya, Memorandum Jemaah Menteri termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh 6 bulan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu,” tambahnya.

Untuk rekod, Allahyarham Muhammad Adib mengalami kecederaan ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas bertarung nyawa selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak