Jerip: Ketua Menteri akan mengesahkan calon yang bertanding

PADAWAN: Penyandang Dun Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk memutuskan sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 kelak.

Katanya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan mengesahkan senarai calon yang bakal bertanding.

“Ia terpulang kepada Ketua Menteri untuk mengesahkan. Saya berpandangan senarai (calon) tersebut belum disediakan ketika ini.

“Mungkin juga ia (senarai calon) sudah disediakan tetapi belum didedahkan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan baucer bantuan pakaian seragam sekolah Yayasan Seragam 2021 di Pejabat Daerah Kecil Padawan, di sini hari ini.

Jerip berkata, beliau ketika ini telah diberikan mandat untuk turun padang bagi menjalankan dan meneruskan aktiviti di kawasan.

“Sejak tahun 2016, kami sentiasa turun padang dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di sini tanpa mengira kaum.

“Justeru, sentimen mereka ialah mereka mahu meneruskan sokongan mereka kepada GPS,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak