Jual kuih kering dari rumah, pasar malam

KUCHING: Pernah menghentikan operasi niaga susulan tahap kesiha-tan yang tidak memberangsangkan, Pah Arin, 48, tetap bersemangat meneruskan perniagaannya

Beliau yang pernah beberapa kali menjalani pembedahan berkata, penyakit yang dialami bukan penghalang untuk terus beraksi dalam bidang usahawan.

“Jika diikutkan, saya dinasihatkan oleh doktor terus berehat susulan penyakit yang saya hidapi.

“Saya juga beberapa kali menjalani pembedahan sekitar 2012 sehingga 2019,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut beliau, dirinya disahkan menghidap kanser payudara dan menjalani pembedahan membuang payu dara pada 2012.

Mengulas perniagaan yang dijalankan, Pah mendedahkan dia hanya menjual kuih-kuih kering secara kecil-kecilan untuk menam-bah pendapatan.

“Saya sangat meminati bidang pembuatan kuih kering dan mulai mengusahakannya sejak anak-anak masih kecil.

“Sehingga sekarang saya masih menjalankan perniagaan ini di rumah dan menghantar tempahan ke rumah pelanggan,” katanya lagi.

Selain menjual dari rumah, Pah yang turut dibantu beberapa anaknya itu juga menumpang jualan di Pasar Malam Saberkas Miri mulai 2 petang hingga 8 malam.

“Pelanggan yang mengambil sendiri di rumah boleh mengambil tempahan dari 12 tengah hari hingga 8 malam,” katanya sambil menambah hantaran tempahan turut dilakukan.

Menurutnya, dia menjual beberapa jenis kuih kering seperti kuih perut ayam dan kacang botak pelbagai perisa.

“Kuih perut ayam mempunyai tiga perisa iaitu pedas, asli manis dan susu, manakala kacang botak pula hanya satu perisa.

“Harga untuk kedua-dua jenis kuih ini juga berbeza iaitu RM12 dan RM15 untuk kuih perut ayam dan kacang botak di kawasan Miri,” katanya.

Manakala, harga di Kuching pula masing-masing RM10 dan RM12 mengikut harga pasaran.”Setakat ini, semua pelanggan memberi komen positif dan sering membuat tempahan ulangan.

“Biasanya, saya tak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan terutama pada hari perayaan,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan persaingan dengan peniaga lain yang menjual produk yang sama juga positif berdasarkan rezeki masing-masing.

“Alhamdulillah, jualan saya setakat ini memuaskan dan dapat menampung kehidupan kami sekeluarga terutama pada waktu yang mencabar ini.

“Kebanyakan pelanggan juga bukan sahaja dari Miri, malah juga Kuching, Sibu, Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Semua bayaran pos di bawah tanggungan pelanggan mengikut lokasi dan tempat tinggal masing-masing,” katanya lagi.

Beliau berharap perniagaan ini terus berjalan lancar untuk mengembangkan lagi operasi niaga sedia ada.

Pelanggan yang ingin mencuba kuih kering jualan Pah, boleh layari Facebook Ummi Bonda Kitchen atau hubungi 011 1408 3019 untuk maklumat lanjut.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak