Kambing Perap Syahdu miliki keistimewaan tersendiri

KUCHING: Disebabkan gemar masakan daging kambing perap, Fazie Ahmad, 30, memutuskan untuk menghasilkan daging kambing perap tersendiri untuk dijual.

Menurut Fazie, selain dirinya, ahli keluarganya yang lain turut meminati daging perap itu untuk hidangan sekeluarga.

“Saya memilih untuk berniaga kambing perap kerana suami dan keluarga mentua merupakan peminat tegar kambing perap.

“Dari situ, saya tergerak untuk memulakan perniagaan kambing perap,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, perniagaan yang dikenali dengan jenama Kambing Perap Syahdu ini dijalankan sejak awal Jun lalu.

“Sebelum berniaga kambing perap, saya pernah menjual nasi lemak pada tahun 2017 yang dihantar ke kantin kilang di kawasan sejingkat selama setahun lebih.

“Kini saya berniaga kambing perap untuk menambah pendapatan sampingan keluarga,” katanya lagi.Mengulas permulaan perniagaan yang dijalankan itu, Fazie berkata dia dan suami menggunakan modal awal sebanyak RM450.

“Sambutan pelanggan terhadap jualan juga amat memuaskan dan ramai yang menempah kambing perap daripada kami.

“Pada dasarnya, perniagaan ini juga sebagai kesinambungan usaha kami berniaga nasi lemak yang lama dihentikan sejak Januari 2018,” katanya lagi.

Menurut Fazie, Kambing Perap Syahdu mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana disediakan dengan penuh rasa kasih sayang.

“Kami menggunakan bahan dan resipi sendiri untuk menghasilkannya dan agak berbeza daripada peniaga lain,” katanya.

Fazie turut mendedahkan dia hanya menjalankan operasi niaga dari rumah pada setiap hari bermula 11.30 pagi hingga 8 malam.

Jelasnya, pelanggan juga mengambil tempahan di rumahnya mengikut keselesaan masing-masing.Untuk harga kambing perap, Fazie menawarkan pada kadar RM30 bagi 500 gram.

“Pelanggan juga boleh melayari laman Facebook saya iaitu Fazie Ahmad untuk melihat lebih lanjut jualan kambing perap ini.

“Kami aktif mempromosikan jualan di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp bagi memudahkan produk kambing perap dikenali ramai,” katanya lagi.

Fazie juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran peningkatan harga barang terutamanya pada musim Covid-19 melanda.

Meskipun begitu, Fazie berharap perniagaan yang dijalankan itu dapat berkembang maju dan menjadi pilihan utama pelanggan tempatan.

Sebarang pertanyaan berkenaan Kambing Perap Syahdu, sila hubungi Fazie di talian 014-5821565 atau kunjungi rumahnya di Cahya Damai 3C Bandar Baru Samariang.

Suara Sarawak