Kampung Tebakang Melayu wajar dicontohi, tangkas kekang banjir dan Covid-19

SERIAN: Kampung Tebakang Melayu menjadi tapak pertama penubuhan Pasukan Respon Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Komuniti di Serian, hari ini.

Selaras dengan tindakan serta usaha dipamerkan penduduknya dalam menghadapi situasi bencana alam seperti banjir dan menyekat kemasukan orang luar ketika pandemik Covid-19.

Mengambil kira perkara tersebut, Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem menegaskan tindakan penduduk kampung itu wajar dijadikan contoh di kawasan-kawasan yang lain.

“Inisiatif penduduk di sini boleh dijadikan sebagai kampung contoh kerana penduduknya menjadi yang pertama setiap kali kecemasan tanpa perlu dikerah.

“Misalnya baru-baru ini mereka bagaikan pegawai kerajaan dalam mengawal dan bersiap sedia menghadapi masalah banjir.

“Inilah usaha yang saya nampak berlaku di kampung ini dan wajar dijadikan contoh di kawasan-kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penubuhan CDERT di dewan Sekolah Kebangsaan Tebakang, hari ini.

CDERT ditubuhkan sejak 16 Mac 2006 sehingga kini telah membentuk 207 pasukan yang terdiri daripada komuniti, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan swasta seluruh negara.

KERJASAMA…. Datuk Seri Richard Riot Jaem (duduk tengah) bersama penduduk kampung Tebakang Melayu dan petugas APM dalam pelancaran penubuhan CDERT

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak