KBS perhebat program pembangunan sukan atlet para Sarawak

KUCHING: Program Pembangunan Atlet Para Sarawak merupakan antara yang berperanan dalam membantu menyediakan atlet mengambil bahagian di kejohanan peringkat antarabangsa.

Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, Program Pembangunan Elit Senior (PES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu diadakan di bawah pembangunan atlet para.

Menurut beliau, ia termasuk bantuan dari segi latihan, menyertai kejohanan atau pertandingan luar, pemakanan tambahan, latihan kekuatan serta latihan mental.

“Selain itu, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak sememangnya telah mengadakan pelbagai inisiatif dan program termasuk mencari bakat serta potensi atlet yang boleh bersaing di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” kata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan Insentif Kepada Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang memenangi pingat pada Sukan Paralimpik Tolyo 2020 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun pihak kementerian telah membuat pelbagai pelan dan program strategik, faktor kejayaan bergantung kepada usaha keras, kesungguhan serta semangat tinggi dari atlet itu sendiri.

Pada majlis tersebut Bonnie menerima insentif RM500,000 ekoran kejayaannya memenangi pingat emas dalam kategori 72 kilogram, manakala Yee Khie yang meraih pingat perak menerima RM300,000.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak