Kekerapan penerbangan ke Sarawak ditambah mulai Disember

KUCHING: Datuk Seri Fadillah Yusof menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mendakwa harga tiket penerbangan ke Sarawak sengaja dirangka untuk tidak membenarkan pengundi luar pulang mengundi ke Sarawak.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, ia merupakan dakwaan yang tidak berasas kerana isu tersebut telah diketengahkan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong untuk diambil tindakan segera.

“Saya telah membawa isu ini ke peringkat kabinet dan kabinet telah memberi arahan kepada Datuk Seri Wee Ka Siong untuk mengambil tindakan segera ekoran kenaikan harga tiket ini.

“Malah semalam, beliau (Wee Ka Siong) telah mengadakan mesyuarat kepada semua syarikat penerbangan.

“Hasil daripada mesyuarat itu, dia telah mengeluarkan arahan supaya harga dapat diturunkan kepada harga yang lebih munasabah,” katanya.

Dedah Fadillah, Menteri Pengangkutan turut menyatakan salah satu punca penerbangan ke Sarawak terhad adalah berikutan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam pengawalan dari segi kesihatan.

Hal ini jelasnya, JBPN khuatir jumlah kemasukan ke negeri terlalu ramai menyebabkan pengawalan tidak dapat ditangani dengan baik.

Namun katanya, hasil perbincangan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lim Kin Sin bersama JBPN, jumlah penerbangan iaitu dari sekitar 200 akan ditambah kepada 300 penerbangan mulai Disember ini secara berperingkat.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak