Kementerian teliti model terbaik untuk golongan muda miliki rumah

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengusulkan satu bentuk panel kumpulan pakar (POE) untuk meneliti semula model terbaik bagi anak-anak muda memiliki rumah.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata, ia termasuk bagi belia yang mengalami masalah dalam rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

“Usul ini membabitkan wakil daripada Bank Negara, Bank Dunia, institusi termasuk wakil Maybank yang pernah terlibat dengan pemajuan perumahan, serta bekas-bekas kakitangan yang membuat polisi dahulu.

“Namun, soal pembiayaan bukan di bawah saya, ia di bawah Bank Negara dan bahagian kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout ke Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kota Samarahan@Ike Village, hari ini.

PPAM Ike Village Kota Samarahan

Beliau tidak menafikan rekod CCRIS merupakan salah satu kekangan untuk memiliki rumah adalah rekod CCRIS.

“Bagaimanapun dari segi penilaian, terdapat bank yang kini mula melakukan migrasi daripada penilaian konvensional yang hanya melihat kepada CCRIS, nisbah pembayaran hutang serta banyak perkara lain seperti analisis psikometrik,” tambahnya.

“Cuma sebagai peneraju untuk isu-isu perumahan, salah satu perkara penting adalah soal akses kepada pembiayaan untuk mendapatkan perumahan.

“Maka Insya-Allah saya akan ada libat urus, setelah mendapatkan dapatan daripada POE untuk dipersembahkan sebagai cadangan sebagai model baharu untuk memungkinkan anak muda mempunyai ruang dan peluang akses mendapatkan pembiayaan perumahan, ” jelasnya lagi.

Katanya, POE ini sedang dipilih panel dan mungkin akan dilaksanakan mesyuarat pertama berkenaan perkara ini pada bulan Disember atau Januari nanti.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak