Kempen PRN-12: Calon perlu manfaatkan media sosial

KUCHING: Calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi di sepanjang tempoh kempen nanti.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia selaras dengan norma baharu yang perlu diamalkan rentetan pandemik Covid-19.

“Ia termasuk penggunaan Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, WeChat, Snapchat, WhatsApp, Telegram dan lain-lain aplikasi sebagai alat untuk menyampaikan kempen.

“Calon juga digalakkan menggunakan rangkaian televisyen serta akhbar tempatan untuk menyampaikan kempen,” katanya dalam SOP yang dikeluarkan, hari ini.

Tambah SOP itu, kesemua calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa berkempen dan sebarang bentuk kempen melalui media masa pada Hari Mengundi adalah tidak dibenarkan.

“Calon dibenarkan untuk memasang kain rentang dan panji di dalam kawasan pilihan raya termasuk mengedarkan risalah di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter,” ujarnya.

SOP itu juga memberitahu calon dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit namun harus mendapatkan permit dari pihak polis.

“Selain itu, kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara boleh berhenti (lingkungan 5-7 minit) di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah tetapi dengan syarat perlu bergerak apabila orang ramai mula berkumpul,” katanya lagi.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak