Kerjaya pengawal peribadi bukan mudah

KUCHING: Ketangkasan dan bertindak dengan pantas jika menghadapi sesuatu ancaman dalam melindungi orang yang berkepentingan seperti golongan atasan adalah tindakan yang sukar dilakukan oleh ‘orang biasa’.

Ini kerana individu itu perlu mempunyai deria yang tajam terutama mata dan telinga dalam mengawal keadaan sekeliling, selain memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat.

Kerjaya elit sebagai pengawal peribadi bukan mudah untuk dilakukan oleh golongan yang tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dalam diri kerana ia membabitkan nyawa seseorang.

Presiden Persatuan Pengawal Peribadi Sarawak, Bolhasan Putit berkata, Sarawak setakat ini mempunyai lebih kurang 380 pengawal peribadi terlatih dan layak mengiringi orang kenamaan.

Menurutnya, kesemua pengawal peribadi terlatih di negeri ini telah menjalani pelbagai kursus intensif dan melepasi ujian sebelum diberikan tauliah.

 

“Kerjaya pengawal peribadi di Sarawak mula mendapat perhatian ramai termasuk dalam kalangan generasi muda.

“Kita mempunyai 380 pengawal peribadi terlatih di Sarawak manakala 800 lagi merupakan ahli persatuan,” katanya.

Bolhasan yang merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Kris Kawalan Rapi Sdn Bhd berkata, penglibatannya dengan bidang tersebut bermula sekitar tahun 2015.

“Semasa terlibat dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di Sarawak pada 2009, saya melihat kebanyakan pengawal peribadi datang dari Semenanjung Malaysia.

“Bermula dari situ saya mula mencari jalan untuk terlibat secara langsung dengan persatuan untuk melahirkan pengawal peribadi dari Sarawak,” ujarnya.

Menurutnya, penglibatannya dalam persatuan adalah untuk mengubah persepsi umum yang sering menganggap pengawal peribadi merupakan samseng.

“Persatuan ini merupakan platform untuk kita melatih anak muda menjadi pengawal peribadi terlatih dan berwibawa,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak