Komited tingkatkan integriti pengurusan surau, masjid

SIBU: Majlis Islam Sarawak (MIS) telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kompetensi dan integriti pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri untuk menjadikannya institusi pembangunan ummah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, usaha tersebut untuk menjadikan pengurusan dan pentadbiran tersebut lebih teratur dan sistematik.

“Antaranya ialah Program Standard Penarafan Bintang Masjid Negeri Sarawak dan untuk mendapatkan penarafan lima bintang, masjid dan surau tersebut hendaklah baik dalam segala sudut pentadbiran, pengurusan kewangan, keselamatan, kebersihan dan keceriaan.

“Ini kerana salah satu isu utama yang sering diperkatakan ialah pengurusan akaun dana masjid dan surau yang harus sentiasa telus, efisien dan teratur. Demikian juga cara mentadbir harta benda, kebersihan, penyelenggaraan masjid dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Sarawak Tahun 2021/1443H yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.

Menurutnya, di Bahagian Sibu terdapat sebanyak 13 buah masjid dan 51 buah surau dengan tiga daripada masjid tersebut mendapat penarafan lima bintang iaitu Masjid Al Muhajirin di Kampung Salim, Masjid Darul Amilin di Taman Permai dan Masjid An Nur, Bahagian Sibu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak