Koperal polis bebas tuduhan ambil dadah

KUCHING: Dituduh mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine empat tahun lalu, seorang anggota polis berpangkat koperal menitiskan air mata apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Asriandy Asmad, 38.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh tidak perlu dipanggil untuk membela diri kerana telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Menurut pertuduhan, dia didakwa mengambil dadah di Mess Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, sekitar jam 11.30 pagi, 25 Julai 2017.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Semasa perbicaraan, lebih kurang enam saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh diwakili Peguam Osman Ibrahim.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak