Kos perceraian cecah RM50,000

SERING berlaku perbincangan dan pendedahan tentang jumlah kewangan yang diperlukan untuk menganjurkan majlis perkahwinan.

Tetapi, ramai yang tidak mengetahui atau mengambil tahu mengenai kos yang perlu ditanggung dalam perceraian.

Perceraian adalah topik yang jarang orang bincangkan.

Sudah tentu pasangan yang berkahwin tidak mengimpikan perceraian.

Tetapi, tahukah anda satu kes perceraian berlaku setiap 10 minit di Malaysia setakat 2014, dan kadar perceraian pada tahun 2019 meningkat 12 peratus dengan 56,975 kes, berbanding 50,862 kes pada tahun sebelumnya.

Di Sarawak pula, kes penceraian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga September tahun ini mencecah lebih 5,000 kes.

Ia termasuk 3,582 kes pasangan Islam, manakala 2,076 kes pasangan bukan Islam.

Ironinya, terdapat banyak punca kes perceraian, antaranya melibatkan hal remeh-temeh, salah faham, penagihan dadah, kecurangan, masalah kewangan, sikap panas baran dan tekanan perasaan.

Dengan kadar perceraian yang semakin meningkat, penting untuk semua mengetahui kos yang terbabit dan hak individu.

Penceraian bukan hanya melibatkan emosi, tetapi keperluan kewangan.

Daripada yuran guaman kepada alimoni sehinggalah jumlah perbelanjaan lain yang terpaksa dikeluarkan hanya untuk memfailkan perceraian.

Terdapat banyak kos yang terlibat sehingga susah untuk buat anggaran.

Contohnya, jumlah permohonan petisyen perceraian yang difailkan, pemilihan peguam, tempoh prosiding mahkamah, jenis kes dan sebagainya akan menjejaskan kos yang perlu ditanggung oleh pasangan.

Berdasarkan semakan, kes perceraian yang mempunyai persetujuan bersama lebih murah iaitu sekitar RM3,000 hingga RM6,000 dan boleh selesai dalam tempoh kurang enam bulan.

Tetapi, kes perceraian tanpa persetujuan salah seorang pasangan atau mempunyai isu-isu berkaitan adalah sangat mahal, sehingga mencecah kos RM5,000 hingga RM50,000.

Malah ia boleh memakan masa bertahun-tahun.

Siapakah yang lebih terkesan?

Sudah tentu golongan wanita terutama mereka yang selama ini tidak bekerja dan bergantung kepada suami.

Bagi yang kurang mampu, kerajaan menyediakan bantuan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Malaysia.

Namun ia bukan percuma, masih perlu membayar khidmat guaman pada kadar yang telah disubsidikan serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Malah, disebabkan kes perceraian yang berlambak ini, untuk mendapatkan bantuan jabatan tersebut sudah tentu perlu menunggu lebih lama.

Bimbang dengan perkara tersebut, Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) melihat perlunya untuk menyediakan bantuan guaman kepada wanita yang dalam proses perceraian termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah kes perceraian yang banyak di negeri ini menyebabkan JBG mengambil masa lama untuk mengendalikan sesuatu kes.

“Disebabkan banyak kes perceraian, ada yang tidak berpeluang mendapatkan bantuan disediakan JBG.

Oleh itu kita melihat ada keperluan untuk menawarkan bantuan ini kepada kumpulan sasaran dan perkara ini antara lapan perkara dibincangkan dalam mesyuarat MWKS,” katanya.

Fatimah berkata, bantuan bersifat sekali beri itu termasuk menyediakan kewangan, tempat tinggal serta pengangkutan terutama mereka datang dari luar bandar.

Beliau menambah, bantuan tersebut tidak hanya diberikan kepada wanita yang mendaftar perkahwinan secara sivil dan syariah tetapi diperluaskan kepada kes-kes perkahwinan atau perceraian di bawah undang-undang adat (Mahkamah Adat).

Bantuan tersebut sudah tentu memberi sedikit kelegaan kepada golongan wanita yang sedang berhadapan dengan krisis hidup tersebut.

Diharap ia dapat segera dilaksanakan demi membela nasib-nasib golongan ini.

Memang kalau boleh, perceraian ini perkara yang paling hendak dielakkan.

Tetapi apabila ia tidak dapat dipertahankan sehingga menyebabkan kesengsaraan hidup, maka perceraian adalah jalan terakhir.

Kesimpulannya, kos perceraian boleh mencecah lebih daripada kos perkahwinan.

Antara cara untuk mengurangkan kos perceraian adalah dengan wujudkan Perjanjian Sebelum Pernikahan.

Perjanjian ini adalah sebuah kontrak bertulis yang menerangkan pemilikan/ pembahagian harta, termasuklah perjanjian-perjanjian lain.

Mungkin kelihatan mengarut tetapi sebenarnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Tetapi perjanjian ini boleh mengurangkan pembaziran masa dan kos perbelanjaan kalau berlaku perceraian.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak