KS Blusters juara KSL 2021 ZON SAMARAHAN

KOTA SAMARAHAN: Regu KS Blusters muncul juara Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 Zon Samarahan selepas menumpaskan Gedong A pada aksi akhir yang berlangsung di Arena Sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.

Aksi final menyaksikan regu pilihan itu menepati ramalan dengan mencatat kemenangan mudah 2-0 (21-14, 21-8) sekaligus menyebabkan Gedong A akur sebagai naib juara.

Antara pemain-pemain membarisi KS Blusters ialah Muhd Fakurazi Julaini (tekong), Henday Jef (apit kanan), Safarnizam Fauzi (apit kiri) dan Wan Edrus Wan Ali (tekong).

KS Blusters membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan pingat manakala Gedong A memerima wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat.

Kedua-dua regu (juara dan naib juara) akan mewakili Zon Samarahan ke peringkat ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung di Kuching pada 10 hingga 12 Disember nanti.

Dalam pada itu, regu Kajas dan D8 Dominators yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan Unimas, Prof madya Dr Hasnizam Abdul Wahid, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi, Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA), Mohd Nizam Wang.

Suara Sarawak