Kuching diiktiraf sebagai bandar kreatif UNESCO

KUCHING: Bandar raya Kuching melakar sejarahnya tersendiri apabila dimasukkan dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) di bawah kategori gastronomi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kuching telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 49 bandar raya baharu di bawah rangkaian UCCN.

“Kami amat berbesar hati untuk menyatakan bahawa Kuching telah berjaya mendapat tempat dalam rangkaian projek UNESCO ini, yang bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan bandar yang mengiktiraf kreativiti sebagai faktor utama dalam pembangunan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Antarabangsa Muzik dan Seni Sarawak 2 (SIFMA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya kemasukan Kuching dalam rangkaian tersebut adalah berikutan permohonan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kepada Unesco pada April lalu.

“Bagaimanapun, satu sidang akhbar yang sesuai akan dibuat nanti bagi mengumumkan pencapaian ini kerana kami baru mendapat berita ini malam tadi,” ujarnya.

UCCN yang dilancarkan pada 2004 merupakan inisiatif di bawah UNESCO untuk mempromosikan kerjasama antara bandar-bandar di seluruh dunia yang meletakkan kreativiti sebagai faktor strategik dalam pembangunan bandar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak