Landasan terbaik pemain kembangkan bakat

KUCHING: Penganjuran Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 tidak hanya dianggap sebagai pentas bagi pemain mengetengah bakat masing-masing.

Malah, kejohanan julung kali dianjurkan badan induk Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu juga sebagai medan untuk barisan pemain muda yang selesai menggalas cabaran di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) meneruskan kesinambungan bakat yang ada.

Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata selalunya pemain muda yang sudah menamatkan tugas mereka di temasya Sukma tiada hala tuju.

Justeru, beliau berharap penganjuran KSL PSS-SSC 2021 akan dapat mencetus satu fenomena baharu terhadap sukan sepak takraw di Sarawak.

“Sekurang-kurangnya pendekatan dilakukan PSS dan SSC dalam mengelola KSL PSS-SSC 2021 dapat memperlihatkan bermula era baharu terhadap pembangunan sukan sepak takraw ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perasmian Kejohanan Liga KSL PSS-SSC 2021 pagi tadi.

KSL PSS-SSC 2021 bermula pada Oktober lalu dan akan berakhir Disember nanti.

Saingan dibahagikan kepada tujuh zon, dengan dua regu yang layak ke final peringkat zon secara automatik akan mewakili zon masing-masing untuk berentap bagi memburu gelaran johan peringkat akhir yang akan berlangsung di Kuching.

Hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai menanti pasukan berjaya.

Juara untuk peringkat bahagian menerima wang tunai RM1,500, naib johan RM1,000 dan wang tunai RM500 untuk pemenang tempat ketiga bersama.

Manakala bagi peringkat akhir pula, johan akan menerima wang tunai RM3,000, naib johan menerima RM2,000 dan wang tunai RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga bersama.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC, Dr. Ong Kong Swee Timbalan Presiden PSS, Datuk Ismail Abang Saufi dan Ketua Bahagian Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak