Lelaki Indonesia maut dipercayai dilanggar jentera pemunggah batu

KUCHING: Lelaki warga Indonesia ditemui meninggal dunia dipercayai dilanggar sebuah jentera pemunggah batu di sebuah kuari di Pulau Salak, di sini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 3 petang semalam, membabitkan mangsa berusia 27 tahun, yang merupakan pekerja am di kuari berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di badan dan kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu, berpunca daripada kecuaian pemandu jentera berat pemunggah jenis Caterpillar terbabit, apabila lelaki berusia 40 tahun itu telah masuk ke tempat perteduhan para pekerja di kawasan kuari berkenaan.

Menjelas lanjut, beliau berkata ketika masuk, pemandu jentera itu tidak melihat sesiapapun yang berehat mahupun berjalan di kawasan itu.

Kemudian pada sekitar jam 5 petang, pemandu jentera itu membawa jenteranya keluar dari kawasan berteduh berkenaan untuk mengambil muatan lain untuk disimpan di stor kuari.

Alexson menambah setelah selesai tugas itu, pemandu jentera terbabit kemudian memandu jenteranya untuk diletakkan di bengkel kuari berkenaan.

“Pada keesokan hari, pemandu jentera pemunggah telah dimaklumkan oleh penyelianya bahawa ada pekerja terlibat dengan kemalangan di kawasan tempat berteduh yang dia telah letakkan jentera pada hari sebelumnya.

“Pihak majikan mengesyaki bahawa pemandu itu yang telah menyebabkan kemalangan berlaku.

“Bagaimanapun setakat ini, pemandu jentera tidak mengaku bahawa kecuaian kemalangan adalah berpunca daripadanya,” katanya.

Beliau memberitahu, punca kemalangan masih dalam siasatan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak